PROGRAM


SKOLA GAMBAR ILHAM:
SENI BERGERAK

Lembaran Kerja Pelajar (BM)

Bersempena ulang tahun ke-10 Galeri ILHAM, kami melancarkan sebuah projek jangkauan masyarakat yang unik – sebuah galeri bergerak dalam kontena berukuran 40-kaki dengan kawalan suhu yang akan menjelajah seluruh Malaysia dengan trak untuk kunjungan pelbagai khalayak. 

Projek yang bertajuk SKOLA GAMBAR ILHAM ini merupakan lanjutan komitmen Galeri ILHAM untuk menjadikan seni mudah untuk dicapai orang ramai, khususnya kepada yang tidak selalu memiliki akses ke galeri. Fasa 1 SKOLA GAMBAR ILHAM akan bermula pada bualn Julai dan Ogos 2025, di mana trak galeri bergerak akan menjelajah sekitar komuniti rumah pangsa kos rendah di Lembah Klang.

Sebuah pameran khas bertajuk Ceritalah dikurasi khas untuk pameran bergerak ini menampilkan 12 orang seniman Malaysia iaitu - Anisa Abdullah, Ho Mei Kei, Ismail Hashim, Joshua Kane Gomes, Kide Badaruddin, Nadirah Zakariya, Padil Osman, Pangrok Sulap, Rafiee Ghani, Sharon Chin, Vincent Leong, dan Yau Bee Ling. Pameran ini menyajikan pelbagai pendekatan seni kontemporari seperti lukisan, cetakan, kolaj, batik, fotografi, arca dan video. Ia mengupas cara seniman mencipta naratif tentang kehidupan semasa di Malaysia—sama ada dengan mendokumentasikan kehidupan harian di bandar dan kampung, atau melalui renungan tentang hubungan kita dengan alam sekitar, keluarga dan sesama manusia.

Pameran ini turut disertakan dengan bahan pendidikan dan teks penerangan untuk memberi latar belakang kepada para pengunjung, khususnya pelajar, agar mereka dapat memahami karya dengan lebih baik serta mendorong perbincangan dan pembelajaran melalui pengalaman reflektif. Program bengkel dan aktiviti khas juga akan dianjurkan di setiap lokasi persinggahan galeri ini.

“Sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini, kami melihat peningkatan besar dalam jumlah pengunjung ke ILHAM dan ia merupakan sesuatu yang sangat memberangsangkan. Kini, kami ingin membawa ILHAM keluar ke komuniti menerusi konsep galeri bergerak dengan harapan ia dapat memberi impak kepada khalayak yang lebih luas. Projek ini menyambung misi kami untuk menjadikan seni Malaysia lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia, dan kepercayaan kami bahawa pendidikan seni adalah sumber penting untuk memupuk pemikiran kreatif dan kritikal dalam kalangan generasi muda. Kami sedar bahawa muzium dan galeri biasanya hanya dikunjungi oleh mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dan mempunyai akses mudah. Justeru kami ingin merapatkan jurang itu dengan membawa pengalaman galeri terus kepada komuniti yang jarang berpeluang untuk melawat,” kata Rahel Joseph, Pengarah Galeri ILHAM.

Fasa 2 dan Fasa 3 SKOLA GAMBAR ILHAM ini akan menyaksikan galeri bergerak menjelajah ke negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua tahun.
 

Skola Gambar ILHAM akan bertempat di Menara ILHAM pada 28–29 June, 8–10 July, 15–17 July, 22–24 July, 29–31 July, 5–7 August, 12–14 August 2025.

Tempatan lawatan lain termasuk:

5 July - Blok 31, PA Sri Johor

6 July - Medan Selera, PA Sri Sabah

12 July - Medan Selera TLKB, PPR Hiliran Ampang

13 July - Blok B, PPR Taman Mulia

19 - 20 July - Pusat Komuniti Gombak

26 July - Blok B, PA Hang Tuah

27 July - Pusat Komuniti, PPR Pinggiran Bukit Jalil 1

2 August - Tempat Letak Kereta Pustaka KL @ Lembah Pantai

3 August - PPR Desa Mentari, Petaling Jaya

8 - 9 August - Dewan Masyarakat Seri Bonus

10 August - Pulau Carey

17 August - Sg Kempas, Kuala Langat

 

 

 

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM