PAMERAN /

Bayangnya itu Timbul Tenggelam

21 JULAI - 31 DISEMBER 2020

LAWATAN VIRTUAL

RISALAH PAMERAN (PDF)

‘Fotografi bukan hanya sekadar menyalin dunia harian, namun sebaliknya, dihargai kerana kapasitinya yang mampu menjejaki beban yang dipikul seseorang, dan membina dunia dalam bentuk yang lebih sempurna dari kehidupan yang sukar untuk diarkibkan.’
- Christopher Pinney, Camera Indica, 1997.

Bayangnya itu Timbul Tenggelam, ialah sebuah tinjauan budaya yang dikembangkan sekitar fotografi dan hubungannya terhadap Malaysia. Pameran ini ingin mengundang kita untuk menggali nilai-nilai lain yang ditanamkan melalui citra fotografi selama bertahun-tahun, dalam percubaan untuk meneroka pemahaman alternatif terhadap sejarah kompleks fotografi.

Pameran ini tidak bertujuan mengetengahkan ‘sejarah’ lazim fotografi. Daripada menjejak ‘evolusi’ teknologi kamera atau persembahan kronologi gerakan seni, pameran ini sebaliknya menyoroti bagaimana gambar memperoleh dimensi dan makna baru melalui berbagai cara ia digunakan, dikumpulkan dan dipersembahkan.

Setiap komuniti dan generasi selepasnya cuba membawa pemahaman dan idea fotografi tersendiri, selalunya berhadapan dengan batas-batas dan kelaziman studio foto. Ini secara langsung mewujudkan poket amalan budaya yang menarik. Dengan fokus terhadap budaya fotografi yang wujud di Malaysia (dan Tanah Melayu); pameran ini membuka khalayak kepada wacana umum tentang bagaimana bingkai pentafsiran tempatan dan cara melihat dapat menyumbang kepada wacana global yang lebih meluas tentang daya tahan imej fotografi. 

Sebagaimana fotografi ialah portmanteau dari dua perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai ‘melukis dengan cahaya’, pameran Bayangnya itu Timbul Tenggelam pula menarik keluar ‘bayang-bayang’ sejarah. Versi sejarah ini dibintangi watak-watak tempatan dan sumbangan mereka dalam membentuk budaya fotografi. Pada masa yang sama, pameran ini juga mendorong kita memikirkan bagaimana nilai dan makna membentuk rasa sesebuah tempat dan gagasan tentang kenegaraan.

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM