PAMERAN /

Kok Yew Puah
Portrait of a Malaysian Artist

OKTOBER 2021 (ARAS 5)

Pameran Kok Yew Puah: Portrait of a Malaysian Artist membayangkan pengkaryaan seorang rakyat Malaysia yang memutus untuk menjadi artis sebanyak dua kali. Pertama kali Kok Yew Puah (1947-1999) menarik perhatian dunia seni tempatan ialah semasa beliau baru pulang dari pengajian di Melbourne sebagai seorang artis cetak abstrak hard-edge ketara pada awal 1970an, di antara beberapa orang artis lain yang sedang mencari arahan dalam kehebohan persaingan isme dan ideologi sosio-politik semasa. Seterusnya, setelah mengenepikan seni selama beberapa tahun untuk mengerjakan perniagaan keluarganya, beliau menempa pengamalan baharu sebagai seorang pelukis figuratif, yang menghasilkan sekumpulan karya yang paling ikhlas, berkemanusiaan dan subjektif dalam menggambarkan suasana landskap tempatan lewat 1980an dan 90an. Beliau meninggal dunia pada umur 51 tahun.

 

Kok Yew Puah ghairah akan potensi dan pentingnya pengkaryaan dan pertukaran pendapat dalam seni. Beliau amat menyedari perkembangan idea seni dan budaya pada peringkat global, serantau dan tempatan; sentiasa mencari penyatuan serta perbualan dengan artis lain, menerusi mengendalikan ruang seninya sendiri, persatuan seni tempatan, berkuliah dan membimbing para pelajar. Beliau juga artis yang mengambil berat tentang persekitaran tempatan dan perkembangan sosio-budaya di negaranya.

 

Pada satu tahap, pameran ini berusaha memberi sebuah potret seorang artis, dengan mengesan perkembangan amalan dan fahamannya menerusi karya, esei, wawancara, artikel, dan perbualan dengan mereka yang mengenali sejarah, watak dan minat peribadinya. Lukisan potret dirinya sendiri, ada kalanya lucu dan dalam berbagai lagak, memberi gambaran menarik tentang si artis. Menerusi sudut orang lain, beliau dilihat dalam berbagai watak – seorang yang berwawasan, seorang artis, seorang suami, bapa, sahabat, guru.

 

Pameran ini juga memberi sebuah potret rakyat Malaysia. Dalam lukisannya, Kok Yew Puah kerap memapar dirinya sendiri, isteri dan anak-anak, dan juga rakan-rakan mereka sebagai model potret manusia. Mereka dikenali “rakyat Malaysia” dari segi penggunaan tanda-tanda visual yang lazim dalam landskap seperti bangunan dan binaan, pakaian dan “prop” atau “alatan pentas” yang mengiringi. Lukisan-lukisan Puah menjemput kita meneliti cara-cara kita melihat satu sama lain, dan membentuk makna-makna serta cerita berkaitan dengan Malaysia.

Ianya sebahagian daripada potret peribadi lebih besar tentang Malaysia, ditangkap menerusi pengalamannya di kampung halaman Klang semasa ianya berubah menjadi pusat industri. Ia sebuah potret yang menyuarakan rasa bimbang tentang pencemaran persekitaran, terutamanya impak  pembangunan yang pesat keatas generasi muda, dan penceraian daripada sejarah dan budaya yang semakin meningkat.

 

Setelah lebih dua puluh tahun beliau meninggalkan kita, sambil kita mengimbas kembali pengkaryaan Kok Yew Puah dan fahaman yang diperolehi daripada riwayat hidup beliau, apakah gambaran yang kita lihat tentang negara Malaysia, rakyat Malaysia dan seorang artis Malaysia?

 

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM