PAMERAN /

Colorless, Odorless

18 JANUARI – 15 MAC 2026 (ARAS 3)

 

Eunhee Lee (lahir 1990, Korea Selatan) menghasilkan video dan filem eksperimental serta dokumentari yang menerokai hubungan antara individu, gambaran dan teknologi mengikut konteks sosial. Teknologi bukan hanya sekadar hasil sains, tetapi juga sebuah gabungan rumit kepentingan politik dan ekonomi yang berbeza-beza. Amalan memerhati fenomena ini merupakan sebuah percubaan untuk memahami dunia aneh dan tidak masuk akal yang kita diami ini.

Video Colorless, Odorless dihasilkan setelah Eunhee Lee menerima Geran Produksi Seni Video Han Nefkens Foundation - Loop Barcelona 2023, dengan kerjasama Fundació Joan Miró; Inside-Out Art Museum, Beijing; MoCA Taipei; Galeri ILHAM, Kuala Lumpur; Centre d'Art Contemporain Genève dan Art Hub Copenhagen.

Geran Produksi Seni Video Han Nefkens Foundation - Loop Barcelona yang dilancarkan oleh Han Nefkens Foundation dengan kerjasama Loop Barcelona pada tahun 2018, melibatkan penghasilan sebuah karya seni video. Anugerah ini bertujuan untuk meningkatkan penghasilan seni kontemporari dalam bidang seni video dengan menyokong artis yang berasal dari atau berwarganegara Asia.
 

Colorless, Odorless 無色無味 (2024)
Single-channel video, 4K, 54min, colour, sound 

Elemen utama elektronik, seperti semikonduktor dan komponen paparan, dihasilkan di dalam “bilik bersih”, sebuah ruang dengan keadaan persekitaraan yang dikawal ketat, termasuklah habuk. Namun begitu, para pekerja di ruang yang bersih dan disanitasi ini sering terdedah kepada bahan kimia yang sangat berbahaya kepada kesihatan mereka. Berlainan dengan bencana yang berlaku serta-merta, penyakit yang berpunca daripada pengumpulan bahan kimia sering tidak disedari dan merebak perlahan-lahan merentasi generasi. 

Apakah bau masam masam manis itu? Adakah “bersih” bermaksud hanya mengutamakan kestabilan pengeluaran sambil mengabaikan keselamatan tubuh manusia? Ironinya, hanya memori tubuh dan kesamaran bau bahan-bahan yang melalui bilik bersih inilah yang membuktikan ketoksikan dan bahaya tersembunyi di tapak teknologi canggih ini. 

Colorless, Odorless menelusuri rekod kerja dan bahan arkib mangsa bencana biobahaya semikonduktor untuk mengesan bauan dan gerakan bahan-bahan yang tidak dapat ditangkap oleh kamera. Melaluinya, suara wanita dan pekerja migran Asia yang terdedah kepada kerentanan turut diketengahkan. Bukti-bukti masa lalu dipasangkan dengan simptom masa kini, dan bencana yang sama berulang pada tubuh dan tempat yang lain. Apabila syarikat multinasional memindahkan kilang pembuatan ke negara membangun, ia bukan sahaja untuk mengurangkan kos buruh, kos piawaian keselamatan dan tindak balas kawalselia, malah bencana industri secara globalnya turut dipindahkan. 
Barangkali masa depan itu bukanlah angka abstrak, tetapi sesuatu yang terpaut dengan tubuh dan bahan tertentu. Ketika industri berteknologi tinggi mempelopori globalisasi risiko dan eksploitasi di tempat kerja yang semakin disumberkan dari luar, Colorless, Odorless berusaha memetakan ruang solidariti antara mangsa, aktivis, dan kesatuan pekerja dalam menghadapi risiko serta eksploitasi ini.
 

Machines Don’t Die

Machines Don’t Die adalah sebuah video dokumentari mengenai sisa buangan elektronik dan industri yang mengitar semula mineral nadir dan logam yang dikandungi mesin tersebut. Karya ini menyiasat dan mempersoalkan beberapa kesan dan akibat penghasilan dan penggunaan digital. Apa yang akan berlaku dengan peranti apabila ia sudah tidak lagi berfungsi, lapuk, atau sudah tidak lagi popular? Saki-baki dan bahan buangan digital perlu dilupuskan dan kini telah menimbulkan suatu kesusahan dan kerumitan. Proses kemerosotan barangan digital ini sejajar dengan sejarah penghasilan sumber.

 



Eunhee Lee memperoleh ijazah seni halus dari Universität der Künste Berlin dan menyambung pengajian dengan memperoleh ijazah Sarjana Seni Halus di Korea National University of Arts. Lee yang menetap di Seoul telah mengadakan pameran solo di Doosan Gallery (2023), The Reference (2021), dan CR Collective (2020), serta pernah menyertai beberapa pameran berkumpulan, antaranya di Seoul Museum of Art (2022), National Museum of Modern and Contemporary Art, Seoul (2022/2021), ARKO Art Center (2020), dan Museum of Contemporary Art Busan (2019). Filem-filemnya telah ditayangkan di Jeonju International Film Festival (2025), DMZ Documentary Film Festival (2022), EXiS Film Festival (2018/2019), dan Seoul International NewMedia Festival (2023/2018).
 

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM