PAMERAN /
Dengan sukacitanya kami mempersembahkan ILHAM Art Show 2025, sebuah pameran yang mengetengahkan para seniman dan kolektif daripada pelbagai latar dan wadah — baik lukisan, lakaran, percetakan, dan fotografi mahupun instalasi, tekstil, filem, dan video.
ILHAM Art Show yang diwujudkan pada tahun 2022 merupakan sebuah pameran tiga tahun sekali yang bermatlamat untuk menggalakkan daya cipta dan keberanian mencuba dalam kalangan seniman dengan menawarkan peluang dan sumber bagi menghasilkan karya-karya baharu, dan menguji cuba bentuk, wadah, dan konsep baharu. ILHAM Art Show ialah sebuah ruang yang menyokong amalan seni kontemporari di Malaysia.
Sebagai satu-satunya pameran ILHAM yang dilakukan secara panggilan terbuka, ILHAM Art Show dibentuk berasaskan keterangkuman, dan ia terbuka kepada semua seniman yang bertapak di Malaysia, tidak kira jantina, kewarganegaraan, pengalaman, atau wadah yang mereka gunakan. Ia juga terbuka kepada para seniman Malaysia yang tinggal di luar negara. Pameran ini juga tidak mengetengahkan sebarang tema.
Selepas panggilan untuk ILHAM Art Show diumumkan pada bulan September 2024, kami menerima lebih daripada 270 permohonan. Pada bulan Mac 2025, kami mengumumkan seramai 20 orang seniman telah terpilih untuk menyertai ILHAM Art Show 2025. Para seniman dan kolektif ini datang daripada pelbagai disiplin dan generasi; ada yang baharu, ada juga yang sudah lama berkarya. Setiap seniman atau kolektif ini menerima geran untuk menghasilkan karya seni yang dicadangkan. Geran ini ingin menggalakkan mereka untuk smembayangkan karya-karya yang tidak dapat mereka kerjakan sebelum ini.
20 seniman dan kolektif ini dipilih oleh sekumpulan ahli panel yang terdiri daripada Gridthiya Gaweewong, Pengarah Artistik Jim Thompson Art Centre, Bangkok, Sharmini Pereira, Ketua Kurator Museum of Modern and Contemporary Art di Sri Lanka, Wong Hoy Cheong, seniman kontemporari Malaysia terkenal, dan Rahel Joseph, Pengarah, ILHAM Gallery.
Biarpun pameran ini tidak bertema, kita tetap dapat melihat benang-benang idea dan tema berulang dalam karya-karya yang dipamerkan. Antaranya: menerokai sejarah untuk merenung masa kini dan membayangkan masa depan, kemusnahan alam sekitar, kecairan identiti, dan ruang untuk menampung kedukaan dan keterasingan.
ILHAM Art Show ingin mencambahkan idea-idea baharu dan menguji cuba cara-cara baharu dalam berkarya. Atas matlamat itu, kami mengundang sekumpulan penulis termasuk Azzad Diah, Ong Kar Jin, Zikri Rahman, Ellen Lee, dan Nuraishah Shafiq untuk mewawancara para seniman yang terlibat, sekali gus menulis respons terhadap karya-karya mereka. Esei-esei yang dihasilkan ini akan diterbitkan di dalam katalog ILHAM Art Show 2025.
2015-2025 © ILHAM GALLERY. ALL RIGHTS RESERVED. WEB DESIGN BY TOMMY NG