PAMERAN /

SKOLA GAMBAR

Enrique de Malacca

Ahmad Fuad Osman

15 MAC - 12 JUN 2022

RISALAH PAMERAN

PANDUAN PAMERAN

Dikurasikan oleh Simon Soon menerusi perbualan bersama Felice Noelle Rodriguez

Pelayaran Magellan-Elcano mengelilingi dunia menjadi tanda bermulanya zaman globalisasi. Namun demikian, kisah tentang keperwiraan, kesengsaraan dan pengembaraan itu acap kali diceritakan melalui kaca mata Eropah (Barat).

Berdasarkan pelbagai catatan, salah seorang daripada 270 orang awak-awak yang berlayar selama tiga tahun dengan lima buah kapal itu adalah seorang pelayar dan penterjemah berketurunan Melayu bernama Enrique de Malacca. Kerana itu kita ingin kembali menjenguk titik sejarah ini melalui sudut pandang orang yang datang dari Kepulauan Melayu.

Skola Gambar Enrique de Malacca merupakan lelaran keempat daripada Enrique de Malacca Memorial Project yang dihasilkan oleh Ahmad Fuad Osman. Projek ini pernah dipamerkan di Singapore Biennale (2016), Sharjah Biennale (2019) dan paling terkini di pameran solo pertengahan kerjaya Ahmad Fuad Osman di Balai Seni Negara Malaysia (2019–2020).

Persembahan ini menawarkan tindak balas dan pandangan baharu terhadap pelayaran mengelilingi dunia yang kini memasuki ulang tahun ke-500. Dengan menggunakan istilah lama bagi ‘muzium’, Skola Gambar mengguna pakai kerangka pentafsiran tempatan untuk mempermasalahkan proses museologi yang piawai, kewibawaannya dalam menafsirkan masa lalu, dan keabsahan naratif-naratif (aliran utama) sejarah (grand narratives). Segala artifak yang dipamerkan datang dari pelbagai sumber — ada yang bersejarah, ada yang berkait secara samar-samar, ada yang dihasilkan semula, dan ada juga yang berbentuk gantian atau rekaan, telahan dan khayalan.

Biarpun demikian, pendekatan daya cipta Ahmad Fuad Osman tetap berpaut kepada sejarah. Seniman ini menuntun kita supaya menjadi lebih peka dengan gambar-gambar dan artifakartifak yang melahirkan pelbagai jenis suara, dakwaan, dan makna. Beliau memanfaatkan prinsip-prinsip kolaj — yang merupakan asas kepada pameran muzium — dalam menghimpun dan mementaskan pelbagai jenis gambar. Dengan halus Fuad memasuki kesedaran sejarah kita untuk mencungkil naik kerencaman proses pemberian makna yang menggarisbawahi pusaka Enrique.

Dengan tidak mengendahkan dikotomi Timur lawan Barat, Skola Gambar menyelongkar keramat gambar sebagai tempat tersimpannya pelbagai ingatan, matlamat dan pemikiran yang mencerminkan dan membentuk kesedaran sejarah bersama. Oleh itu, pameran ini turut meneroka pelbagai raut tulisan sejarah untuk memahami nilai-nilai sepunya dan pelbagai percanggahan pendapat mengenai identiti dan tempat tempat di Malaysia, Indonesia dan Filipina yang dikaitkan dengan Enrique.

Ahmad Fuad Osman lahir pada tahun 1969, di Kedah. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 1991. Pada tahun 1990-an, Fuad bergiat dalam industri teater dan perfileman Malaysia sehingga mendorong beliau untuk melakukan anjakan dalam amalan keseniannya. Beliau bergerak dari amalan kesenian Neo-Expressionisme kepada menghasilkan karya-karya konseptual pelbagai disiplin seperti instalasi, arca, media cetak dan video. Fuad juga intim dengan tema sosiopolitik misalnya politik identiti, masalah penyalahgunaan kuasa dan penyakit lupa sejarah. Dengan falsafah dan kecerdasan, Fuad berbicara kepada segala macam orang tentang segala macam hal.

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM