PAMERAN /

Titik Garis Bentuk: Drawing as Practice

24 Mac – 28 Julai 2024 (Aras 5)

RISALAH PROGRAM

Lakaran adalah wadah yang paling asas dan sejagat untuk manusia meluahkan perasaan. Dari lakaran di dinding gua di Borneo yang berusia 40,000 ribu tahun, manusia sudah menggunakan lakaran untuk berbicara antara satu sama lain dan merakamkan dunia di sekeliling mereka. Dalam kerja kesenian, lakaran adalah seni yang paling segera jika dibandingkan dengan seni-seni lain. Dengannya, kita melihat dengan jelas silat tangan si seniman. Walaupun lakaran secara tradisinya dilihat sebagai sebahagian daripada kerja persiapan dalam menghasilkan lukisan dan arca, pada hari ini ia sudah dianggap sebagai sebuah wadah yang berdiri sendiri.

Titik Garis Bentuk meneroka peranan yang dimainkan oleh lakaran dalam dunia seni kontemporari Malaysia dan melihat letak duduknya sebagai sebuah karya seni. Pameran yang menayangkan karya-karya 27 orang seniman yang sering bermain dengan wadah lakaran ini meneliti cara mereka memaknai semula wadah tersebut dengan mengaburkan batas-batas antara lakaran dengan pelbagai bentuk seni lain semisal instalasi, animasi, mahupun persembahan. Lewat karya-karya mereka yang merangkumi figura, landskap, lukisan seni bina, dan minimalisme, para seniman memperluaskan makna lakaran pada sebuah permukaan dua dimensi dengan menggunakan teknik dan bahan yang inovatif.

Daripada figura-figura dan pemandangan bersaiz besar yang dilakar menggunakan arang, sehinggalah kepada karya-karya yang mengandungi sifat perenungan seperti yang dimiliki oleh lakaran, Titik Garis Bentuk mengangkat bagaimana para seniman membawa wadah ini menelusuri jalan-jalan baharu. Pameran ini memaparkan kepada kita cara para seniman kontemporari menggunakan garisan bagi memetakan persekitaran semula jadi mahupun buatan, untuk merakam sejarah dan realiti sosial kita, serta untuk bercerita, baik yang sebenar ataupun khayali. Mereka menghasilkan pelbagai jenis karya yang menyentuh tentang kerumitan dan percanggahan pengalaman manusia.

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM