LOVE ME IN MY BATIK:

Karyawan

PAMERAN / LOVE ME IN MY BATIK

Karyawan

AMRI YAHYA (l. 1939, Indonesia) menerima pendidikan di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI; kini Institut Seni Indonesia), dan kemudian menetap di Yogyakarta. Beliau seterusnya menyambung pengajian di Institut Latihan Perguruan Negeri di Yogyakarta pada 1971, dan pada tahun berikutnya membuka Galeri Amri. Sejak tahun 1960-an beliau telah mencuba dan bereksperimen dengan lukisan batik, dan mula mempamerkan karya-karya lukisan batiknya pada tahun 1974. Pada hari ini, Amri Yahya diakui sebagai perintis gaya/medium seni lukisan batik di Indonesia.

BAMBANG TOKO WITJAKSONO (l. 1973, Indonesia) merupakan lulusan Institut Seni Indonesia (ISI) pada 1997 dan kemudian menamatkan pengajian lanjutannya di Institut Teknologi Bandung (ITB) pada 2005. Beliau merupakan salah seorang pengasas Apotik Komik, sebuah kolektif seni yang menghasilkan karya-karya seni di ruang awam yang menampilkan respons kepada situasi-situasi sosio-politik di Indonesia di era Reformasi sekitar penghujung 1990-an. Pada hari ini, minatnya sejak dahulu lagi terhadap budaya jalanan Yogyakarta dan sejarah komik picisan Indonesia jelas tergambar pada karya-karya seninya.

CHEW KIAT LIM (l. 1943, Terengganu) adalah pengasas dan presiden Friday Art Group yang ditubuhkan di Kuala Terengganu pada 1966. Beliau juga pengurus Chew Brothers Art Gallery di Kuala Terengganu dari 1966 hingga 1968. Beliau tidak mendapat pendidikan seni lukis secara formal tetapi belajar dengan melukis poster-poster iklan wayang untuk syarikat Shaw Brothers. Pada 1962, beliau memenangi hadiah kedua di pameran Seni Lukis Antarabangsa di Saigon. Semenjak dari itu beliau mulai hidup berkelana, termasuklah bekerja di Singapura, Kota Kinabalu dan kemudiannya Amerika Syarikat Pada 1969, beliau menyertai acara Bienal de Sao Paulo yang kesepuluh dan menampilkan karya lukisan batiknya yang bertajuk Batek Em Pano.

CHEONG SOO PIENG (l. 1917, China) mendapat pendidikan seni di Xiamen dan Shanghai. Beliau berhijrah ke Singapura pada 1946 dan mengajar di Akademi Seni Halus Nanyang serta berperanan melahirkan satu generasi pelukis yang baharu. Beliau menerima latihan dalam gaya-gaya seni lukis China dan Barat, dan amat terinspirasi dengan masyarakat dan tradisi-tradisi Asia Tenggara. Salah seorang perintis awal seni lukis moden Malaysia, Soo Pieng mengutamakan jenis figura tertentu yang wujud dalam landskap Malaya yang indah lagi mempesonakan.

CHOY SIEW KEK (l. 1947, Pulau Pinang) telah memperolehi biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke South German Plastic Institute pada tahun 1972. Seperti abang beliau, Siew Kek membesar dan mempelajari batik dengan tunjuk ajar bapanya Chuah Thean Teng. Beliau telah mengadakan pameran serata dunia terutamanya berpameran di Jepun yang mana beliau meraikan keindahan alam semula jadi tropika. Pengetahuan Siew Kek dalam botani telah memberi kesan dalan kerja-kerja artistik beliau yang mengkaji flora, khas berkenaan bunga orkid.

CHUAH SEONG HOOI (l. 1974, Pulau Pinang) anak lelaki kepada Chuah Siew Teng dan CHUAH SEONG LENG (l. 1976, Pulau Pinang) adalah anak lelaki kepada Chuan Seow Keng yang mana mereka adalah generasi ketiga pelukis batik di dalam keluarga Chuah. Mereka juga adalah generasi sekarang yang meneruskan legasi dari terulung, Chuah Thean Teng dan masih berkarya dalam menghasilkan lukisan batik sehingga kini.

CHUAH SIEW TENG (l. 1944, Pulau Pinang) mula terdedah kepada seni lukisan batik pada usia yang sangat muda daripada ayahnya, pelukis terkenal Chuah Thean Teng. Beliau malahan telah memenangi pelbagai hadiah dan anugerah seni sebelum lagi beliau mengikuti pendidikan seni secara formal di Ravensbourne College of Art dan City & Guild Art School di England pada 1965. Walaupun beliau lebih dikenali menerusi lukisan-lukisan batiknya, tetapi beliau juga handal dalam lukisan cat minyak dan lukisan potret. Karya-karyanya pernah dipamerkan di pelbagai negara di seluruh dunia, termasuklah England, Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Switzerland.

CHUAH THEAN TENG (l. 1914, China) mendapat pendidikan di Akademi Seni Halus Amoy di Fujian, dan diakui ramai sebagai bapa seni lukisan batik kontemporari Malaysia. Beliau mula mempelajari teknik-teknik pembuatan batik selepas berhijrah ke Malaya pada 1932. Tokoh pelukis ini dianggap sebagai perintis lukisan batik dan karya-karyanya berjaya membantu mengangkat martabat medium batik ke tahap seni halus. Lukisan-lukisan serba romantiknya yang berkisar tentang kehidupan permai di kampung serta tafsiran-tafsiran inovatifnya terhadap seni tradisional dilihat berkait rapat dengan usaha untuk meraikan dan memberi penghormatan kepada negara ini dan masyarakatnya serta sejajar dengan harapan dan aspirasi negara Malaysia yang baharu merdeka. Karya-karyanya telah dipamerkan di merata-rata tempat dan beliau telah mengadakan beberapa siri pameran solo di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

CHUAH SEOW KENG (l. 1945, Kelantan) menerima biasiswa untuk belajar di SüddeutscheKunststoff-Zentrum di Wurzbyrg, Jerman. Ketika belajar di akademi tersebut, beliau mengkhusus dalam bidang arca kaca gentian, suatu medium yang amat sukar namun berbaloi untuk dipelajari. Meskipun dikenali sebagai seorang pengarca yang handal, Seow Keng juga diakui sebagai seorang pelukis batik yang ulung. Beliau belajar seni lukisan batik dari ayahnya, mendiang Chuah Thean Teng, tokoh yang mempelopori lukisan batik sebagai satu bentuk/gaya seni halus di Malaysia.

EKO NUGROHO (l. 1977, Yogyakarta) merupakan lulusan Fakulti Lukisan di Institut Seni Indonesia di Yogyakarta. Karya-karyanya dihasilkan dengan bertunjangkan tradisi-tradisi setempat, seperti teknik-teknik batik dan sulaman tradisional, serta budaya popular global, seperti seni jalanan, grafiti dan komik kontemporari. Eko menyelami dengan mendalam budaya zamannya dan sangat komited kepada usaha menyelongkar isu-isu sejagat, seperti globalisasi, kemelut politik, rasuah, prejudis perkauman, dan sistem-sistem nilai budaya, menerusi perspektif kritikal yang sering kali disulam dengan unsur-unsur jenaka, lucu dan nakal.

FATIMAH CHIK (l. 1947, Johor) mendapat pendidikan dalam bidang seni reka tekstil di Institut Teknologi MARA (kini UiTM). Fatimah mula bereksperimen dengan reka bentuk batik sekitar 1970-an, berteraskan pentafsiran dan pengolahan secara stailisasi akan elemen-elemen flora dan fauna serta seni bina Nusantara bagi menerapkan nilai kontemporari ke atas medium batik; sesuatu yang sukar ditandingi oleh ramai pelukis lain. Menerusi pendekatan ini, beliau berjaya memperluaskan batas sempadan seni lukisan batik dengan memanfaatkan teknik-teknik kraf dan pertukangan tradisional untuk menghasilkan karya-karya seni yang baharu dan inovatif.

GRACE SELVANAYAGAM (l. 1936, Negeri Sembilan) bereksperimen dengan bentuk-bentuk abstrak berasaskan alam dengan merujuk kepada flora dan fauna tempatan. Karya-karyanya melibatkan pelbagai media, dari batik dan lain-lain jenis tekstil sampailah kepada cetakan saring sutera dan reka bentuk grafik.

HO HEE KHIM (l.1948, Pulau Pinang) telah mempelajari seni dengan tunjuk ajar abang beliau, Ho Khay Beng dan seterusnya mempelajari batik dengan tunjuk ajar Tan Kok Hwa. Karya beliau yang terkenal adalah lukisan still life (alam benda) bunga orkid. Bersama-sama dengan abang beliau, Khay Beng telah menyertai pameran di Dewan Sri Penang pada tahun 1975. Selain daripada menjadi seorang pengkarya seni, beliau juga adalah tenaga pengajar Chi Kung di Johor dan ahli Penang Art Society.

HU TE HSIN (l. 1926, China) mendapat pendidikan dalam bidang kesusasteraan dan tulisan kuno di National Peking University, China. Sepanjang pengajiannya di sana, beliau turut belajar seni lukis daripada tokoh-tokoh pelukis seperti Zhang Daqian. Beliau berhijrah ke Malaya pada 1961, dan mula bereksperimen dengan lukisan batik. Tidak lama selepas itu, beliau mengadakan pameran solo di Balai Ampang pada 1966. Dari kerana latar belakangnya dalam bidang kesusasteraan, Hu mengekalkan sensibilitinya terhadap elemen puitika dan kadang kala unsur kaligrafi sepertimana yang dapat dilihat pada caranya mengendali medium batik.

IDA RUTH TALALLA (l. 1940, Kuala Lumpur) merupakan lulusan Art Institute di Chicago. Sebelum mengikuti pengajian seni secara formal, Ida sudah pun bekerja sebagai pereka bentuk tekstil di Pusat Kraftangan MARA, dan di sana beliau mempelajari proses pembuatan batik. Meskipun sebahagian besar masa profesionalnya dihabiskan untuk mencipta dan mereka bentuk motif-motif baharu untuk tekstil, namun beliau sempat juga mendalami teknik lukisan batik. Beliau merupakan salah seorang dari segelintir kecil pelukis yang berjaya merapatkan dunia reka bentuk dengan dunia seni halus. Karyanya pernah ditampilkan di dalam sebuah pameran yang meninjau perkembangan reka bentuk batik yang telah diadakan di Balai Seni Lukis Negara Malaysia pada 1968.

ISMAIL MUSTAM (l. 1944, Selangor) pada mulanya belajar seni lukis ketika menuntut di Victoria Institution di bawah bimbingan Patrick Ng Kah Onn dan menjadi anggota Wednesday Art Group. Beliau memenangi hadiah pertama untuk kategori lukisan batik di pertandingan Salon Malaysia pada tahun 1968. Dari 1969 hingga 1971, beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat ijazah Sarjana Muda Seni Halus di Art Center College di Los Angeles, California.

ISMAIL MAT HUSSIN (l. Kelantan, 1938) belajar melukis sejak berusia 12 tahun di bawah asuhan Cikgu Nik Mahmood di Sekolah Melayu Padang Garong. Beliau mulai mencuba lukisan batik di bawah bimbingan Khalil Ibrahim. Beliau terkenal kerana mengadunkan warna-warna hangat dan rona-rona bumi agar dapat merakam dengan sejelas-jelasnya aktiviti-aktiviti seharian yang dilakukan oleh masyarakat yang tinggal di pantai timur Semenanjung Malaysia. Pada hari ini, lukisan-lukisannya dikumpul oleh ramai pengumpul persendirian dan juga pelbagai institusi budaya dan korporat yang utama di Malaysia.

KHALIL IBRAHIM (l. Kelantan, 1934) mendapat pendidikan di St Martin’s School of Art di London. Karya-karya figuratifnya yang meliputi hampir setengah abad kerjayanya, termasuklah lukisan-lukisan pemandangan kampung yang dihasilkannya di peringkat awal kariernya sampailah kepada karya-karya beliau yang lebih terkini yang menampilkan olahan-olahan abstrak kelompok figura yang mendapat inspirasi daripada masyarakat nelayan di Pantai Timur telah dipamerkan di merata-rata tempat baik di dalam mahupun luar negara. Seorang pendokong awal lukisan batik, beliau lebih dikenali menerusi penggunaan dan pengolahan unsur-unsur warna dan gerakan.

KOAY SOO KAU (l. 1946, Pulau Pinang) merupakan lulusan Maktab Latihan Perguruan dengan pengkhususan dalam seni lukis. Selepas tamat latihan di sana, beliau bertugas sebagai guru di beberapa sekolah menengah di Kedah dan Pulau Pinang. Beliau seorang ahli Penang Teachers’ Art Circle yang aktif, dan menjadi presidennya untuk penggal 1993-1997. Lukisan-lukisan Soo Kau memperlihatkan minatnya yang mendalam terhadap tema-tema dan motif-motif yang ada kaitan dengan Nusantara. Karya-karyanya telah dipamerkan di merata-rata tempat dan dikumpul oleh pelbagai pihak. Pada hari ini, beliau mengurus Mutiara Art Gallery yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang.

KWAN CHIN (l. 1946, Kuala Lumpur) mendapat pendidikan di Akademi Seni Halus Nanyang di Singapura, dan dilatih menggunakan medium-medium seni Barat termasuklah arang, cat air dan cat minyak. Beliau kemudiannya bekerja sebagai pelukis komersial di sebuah syarikat pengiklanan sebelum menemui lukisan batik sebagai satu medium untuk pengucapan seninya. Karya-karyanya dapat ditemui di dalam koleksi tetap Bank Negara Malaysia, Muzium Lukisan Batik Pulau Pinang, serta lain-lain institusi dan koleksi persendirian yang penting.

LEE KIAN SENG (l. 1948, China) merupakan seorang artis multimedia yang tidak pernah mendapat pendidikan seni secara formal. Pada usia 18 tahun, beliau mengadakan pameran solonya yang pertama, dan semenjak dari itu telah melangsungkan 21 buah pameran solo. Antara beberapa pameran antarabangsa yang pernah disertainya ialah Indian Triennal yang pertama, Sao Paulo Biennale yang kesepuluh, dan World Exposition pada 1970 di Osaka. Beliau juga mewakili Malaysia di acara ASEAN Square Sculpture Symposium yang ketiga di Indonesia pada 1984. Beliau pernah memenangi pelbagai anugerah dan hadiah seni di peringkat kebangsaan, dan turut dikenali sebagai bapa atau perintis Seni Instalasi Malaysia. Beliau berkarya dengan pelbagai jenis medium, termasuklah cetakan litografi, gurisan, saring sutera dan batik. Kajian, inovasi serta kreativitinya dalam teknik dye and resist telah membawa beliau memenangi Tokyo Creation Award (Hadiah Luar Negara) pada 1993.

LEE LONG LOOI (l. 1942, Kedah) merupakan lulusan dari Akademi Seni Halus Nanyang pada 1964, dan kemudiannya berangkat ke New York untuk melanjutkan pengajiannya di Art Students League dan selepas itu di Pratt Institute atas tajaan biasiswa. Sejak 1970 Lee telah berjaya mengadakan beberapa siri pameran solo di Amerika Syarikat, Kanada, Asia dan Amerika Latin. Pada 1977, lukisan-lukisan Lee merupakan karya-karya oleh pelukis Malaysia yang pertama kali dilelong serentak di tiga buah agensi lelongan: Christie’s, Sotheby’s dan Glerum Auctioneers. Pameran-pameran paling terbaharunya telah dilangsungkan di Art Gallery, Malaysia; Pamil Gallery, Puerto Rico; Catalina Gallery, Florida; Art Focus, Singapura; Art Salon, Malaysia.

LIEW KUNG YU, (l. 1960, Kedah) selama beberapa tahun, telah berusaha mengembangkan seni fotografi kontemporari Malaysia menerusi praktis instalasi. Beliau berkarya menggunakan pelbagai jenis medium – beliau pernah menghasilkan karya-karya instalasi, membuat persembahan sebagai artis performans, dan menjadi pereka bentuk teater dan bengkel kanak-kanak. Kung Yu dikenali dengan karya-karya yang digarap dengan penuh kehalusan, olahan-olahan yang cermat lagi teliti, dan minatnya terhadap unsur-unsur kitsch. Siri terbaharu ini – cubaan pertama Kung Yu berkarya dengan seni batik – memperlihatkan elemen-elemen jenaka dan teaterikal yang sudah menjadi ciri-ciri lazim di dalam pengkaryaannya.

LONG THIEN SHIH (l. 1946, Selangor) barangkali seorang pelukis yang lebih dikenali dalam sejarah seni cetakan moden Malaysia. Beliau berangkat ke Paris untuk belajar di Atelier 67 pada 1966 di bawah tajaan biasiswa kerajaan Perancis sebelum ke London untuk melanjutkan pengajiannya di Royal College of Art.

PADIL OSMAN (l. 1976, Kelantan) dibesarkan dikelilingi oleh seni dan alam semulajadi. Osman telah menghasilkan batik semenjak muda lagi. Dengan keanggunan batik yang dihasilkan,telah memperlihatkan ciri-ciri suasana Kelantan dengan permandangan tempatan dan luar Bandar. Lukisan beliau yang kaya nilai artistik dengan ciri-ciri warisan adalah sumber inspirasi dalam menghasilkan karya seni batik beliau.

PATRICK NG KAH ONN (l. 1932, Kuala Lumpur; 1932-1989) mendapat tajaan Sino-British Fellowship Trust pada 1964 untuk mengikuti pengajian seni di Hammersmith College of Art dan Wimbledon and Southlands College of Art di London. Beliau merupakan salah seorang anggota awal Wednesday Art Group yang diasaskan oleh Peter Harris. Di saat kemuncak kerjaya seninya di akhir 1950-an, Patrick, terangsang dengan suasana keghairahan menyambut Kemerdekaan negara, menghasilkan lukisan-lukisan yang padat dan berselirat dengan jalinan untuk meraikan kemakmuran negara baharu ini.

RAMLI MALEK (l. 1943, Pahang) mendapat pendidikan dalam bidang Reka Bentuk Fabrik di Bradford College of Art pada 1964. Beliau pernah mengadakan pameran solo di Manchester, Hull dan kawasan Midlands di England. Selepas pulang ke Malaysia, beliau membuka kilang batik di Kuantan. Beliau terus mengukir nama sebagai salah seorang pelukis batik terbaik negara ini sehinggalah kematian mengejutnya pada 1982. 

Jurufoto seni halus dari Singapura, SAMANTHA TIO (MINTIO) (l. 1986, Singapura), dan artis kontemporari dari Indonesia, BUDI AGUNG KUSWARA (KABUL), merupakan pasangan artis suami-isteri dari Bali dan Singapura. Pada 2011, mereka berkolaborasi untuk projek bertema Malam Di Jari Kita, sebuah siri karya yang dihasilkan dengan usaha sama pembuat-pembuat batik dari kelompok Sido Luhur di Kebon Indah, Jawa Tengah, yang menggabungkan teknik cetakan fotografi cyanotype dengan tradisi pembuatan atau percetakan batik. Masing-masing Kabul dan Mintio telah menghasilkan karya-karya yang dipamerkan di Jepun, Korea, UK, Itali, Amerika Syarikat, Singapura dan Filipina.

SAMUEL INDRATMA (l. 1970, Indonesia) menuntut bidang Seni Grafik di Institut Kesenian Indonesia, Yogyakarta sekitar tahun 1990-1996. Pada 1997, Indratma telah menubuhkan Apotik Komik, iaitu satu kumpulan kesenian aktivis berhaluan kiri dan dalam tahun yang sama ianya adalah antara kumpulan yang utama dan penting dalam Jogja Mural Forum. Melalui kerjasama dua kumpulan yang telah memperteguhkan lagi reputasi Yogyakarta sebagai sebuah kota yang mesra seni yang lebih mengutamakan seni mural dengan adanya karya utama mereka bertajuk “Lempuyangan flyover (2002). Indratma telah menjalankan pameran solo di Yogyakarta, Singapura dan Melbourne dan juga menyertai beberapa pameran secara berkumpulan. Karya seni beliau terutamanya karya awam banyak menggunakan seni sebagai alat komunikasi social dan ianya adalah salah satu cara penerokaan dalam komuniti. Intratma adalah pengasas Jogja Mural Forum pada 2005.

RUSMADI KAMALUDDIN (ABDULLAH JONES) (l. 1964, Pahang), merupakan seorang pelukis yang belajar secara sendiri. Pameran-pameran yang pernah disertainya termasuklah The Outsider Art di Minnesota pada 2008, Un-Cut di Copenhagen pada 2009, dan Tampannya Budi di Balai Seni Visual Negara pada 2009. Beliau juga seorang penulis dan penyajak dan telah menerbitkan sebuah koleksi sajak berjudul Sajak-sajak Suci (2007). Karya-karya penulisannya pernah dimuatkan di dalam buku Jiwa Kacau (2008) dan Budak Kayu (2009).

SEAH KIM JOO (l. 1939, Singapura) dibesarkan di Terengganu. Di negeri pantai timur inilah Kim Joo mula-mula terdedah kepada proses pembuatan kain batik tradisional. Beliau pulang ke Singapura untuk belajar di Akademi Seni Halus Nanyang pada 1959. Selepas menamatkan pengajiannya, beliau kembali ke Terengganu dan menjelajah ke seluruh pelusuk pantai timur Semenanjung Malaysia untuk memperdalam dan mengukuhkan pengetahuannya tentang teknik-teknik batik. Beliau sangat terkenal menerusi sebuah lukisan batik berskala besar yang dilukis di atas lima keping panel, berjudul Malayan Life (1968), yang ditempah untuk upacara perasmian Hotel Malaysia di Singapura.

SYED SHAHARUDDIN SYED BAKERI (l. 1947, Perak) menerima pendidikan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Beliau pernah menyertai pelbagai pameran di Malaysia dan di luar negara dan telah memenangi beberapa anugerah termasuklah Hadiah Utama dalam kategori Batik. Karya-karya lukisannya menggabungkan teknik-teknik batik Melayu tradisional dengan motif-motif yang diolah dari artifak-artifak Asia Tenggara.

TAN RAHIM ZAHICI (l. 1934, Perak) merupakan seorang anggota Askar Wataniah. Beliau, pada asasnya, belajar melukis secara sendiri dan mulai berkecimpung dengan serius dalam bidang seni lukis pada awal 1970-an. Tan Rahim terkenal kerana eksperimentasinya dengan pengolahan imej-imej abstrak menggunakan medium batik. Lukisan-lukisan batiknya menunjukkan persamaan yang ketara dengan lukisan-lukisan pelukis-pelukis gerakan colour-field di New York pada era 1960-an.

TAN THEAN SONG (l. 1946, Kedah) mendapat pendidikan di Akademi Seni Halus Nanyang, dengan pengkhususan dalam lukisan dakwat China dan cat air. Lukisan batiknya berjudul Playing Kite telah memenangi hadiah kedua untuk kategori medium batik dalam Pertandingan Seni Lukis Salon Malaysia pada 1968.

TAY MO-LEONG (l. 1938, Pulau Pinang) mendapat pendidikan di Provincial Taipei Normal College of Fine Art dari 1957 hingga 1960, dan di Art Centre di Florida pada 1970. Beliau pernah memenangi pelbagai anugerah dan hadiah untuk lukisan-lukisan batik dan cat air serta karya-karya arcanya. Tay terkenal sebagai pencipta proses double-resist dan lain-lain penemuan eksperimental untuk teknik lukisan batik. Beliau telah mengadakan beberapa pameran solo di Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia. Pameran retrospektif karya-karyanya telah dilangsungkan di Galeri Seni Negeri Pulau Pinang pada 2009.

TOYA LIM KHOON HOCK (l. 1943, Pulau Pinang) merupakan lulusan dari Australian National University di Canberra pada 1971. Sejak 1960an, gaya lukisan batik Toya yang unik memperlihatkan gabungan kraftangan tempatan dengan gaya-gaya seni lukis pelukis-pelukis Impressionis Perancis seperti Seurat. Pada 1994, Toya menjadi pelukis batik pertama yang karya-karya lukisannya diterima untuk satu acara lelongan Christie’s. Selain dikumpul oleh pengumpul-pengumpul persendirian dari seluruh pelusuk dunia, lukisan-lukisannya juga dikumpul oleh Bank Negara Malaysia, Balai Seni Lukis Negara Malaysia, dan Australian National University. Salah sebuah lukisannya, Mother and Child, kini tergantung di Bangunan UNESCO di New York.

YEE I-LANN (l. 1971, Sabah, Borneo Malaysia) tinggal dan berkarya di Kuala Lumpur. Beliau merupakan graduan dari University of South Australia di mana beliau menerima ijazah Sarjana Muda Kesenian (Seni Visual) pada 1993 dengan pengkhususan major dalam bidang fotografi dan minor dalam bidang sinematografi. Karya-karya beliau, yang mana kebanyakannya dibuat berasaskan media foto, membincangkan isu-isu berkaitan budaya, kuasa dan peranan memori sejarah dalam pengalaman sosial kita. Tema-tema sedemikian tentunya memerlukan serangkaian ekspresi visual yang luas cakupan dan pelbagai lapisannya yang diambil dari berbagai-bagai rujukan sejarah, budaya popular, arkib-arkib dan objek-objek harian. I-Lann turut berkecimpung sebagai pereka bentuk produksi untuk filem-filem cereka. Beliau juga peserta program residensi artis di NTU Center of Contemporary Art, Gillman Barracks, Singapura.

YUSOFF ABDULLAH (l. 1928, Kelantan) mula terdedah kepada seni batik ketika usianya masih muda. Beliau kemudiannya mempelajari teknik-teknik lukisan batik dari Mahagurunya sendiri, Chuah Thean Teng. Seorang guru yang berbakat besar, beliau pernah dikurniakan Anugerah Guru Seni Lukis pada 1984 sebagai pengiktirafan ke atas sumbangannya dalam bidang Pendidikan Seni. Lukisan-lukisan batiknya membuktikan ketinggian daya kreativitinya dari sudut penggunaan serta pengolahan ruang, bentuk dan warna.

• • •

Sepanjang penelitian kami, kami masih tidak mendapatkan maklumat tentang M. Yusoff dan Soo Eng Beng. Kami berharap dengan usaha untuk menyerlahkan karya- karya seniman ini, maklumat lanjut mengenai mereka akan dapat didapati pada kajian masa hadapan.

MELANGGAN SURAT BERITA ILHAM